Mutiara Kata

Jika DA’WAH adalahPILIHAN, maka IZINKAN hati ini MEMILIHNYA.
Jika DA’WAH adalah KEWAJIBAN, maka KUATKAN kami MENJALANINYA
Jika DA’WAH adalah KECINTAAN, maka IKHLASKAN kami MERASAKANNYA
Jika DA’WAH adalah NADA dalam hidup, maka IZINKAN kami MEMAINKAN IRAMANYA
Jika DA’WAH adalah badai KESULITAN, maka kuatkan kami untuk mampu BERTAHAN.
Jika KEMENANGAN DA’WAH adalah TADHIYAH dan TAAT, maka ILHAMKAN semuanya pada jiwa ini...
~ABU RIDHWAN~

Isnin, 9 Januari 2012

Tidak perlu ada JAWATAN untuk rasa TANGGUNJAWAB..

Assalammualaikum. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Di kala keletihan mungkin kerana kepadatan jadual di 'rumah' baru daripada pagi hingga petang membuatkan diri ini hampir tidak bermaya di kala malam ini. Rasa mudah letih, tambahan lagi banyak buah fikiran yang tidak diekspresikan sama ada melalui artikel, entri atau kata-kata. Ikutkan naluri, ingin sahaja merehatkan diri dengan tidur tetapi hati seperti berbicara,
"Malek, bangun, kau ada sesuatu yang perlu dilakukan. Publish artikel berkaitan mengingati Aku."
Monolog bicara hati seolah-olah kata-kata daripada Ilahi menerpa ke dalam hati ini. Dalam kemalasan dan keletihan, lalu diri ini bangun, menekan butang power pada laptop. Maka menari-nari jari-jemari ini menekan papan kekunci bagi memaparkan artikel berkaitan diri-Nya, pemilik cinta yang diri ini dambakan.
Duhai sahabat, adakah anda tahu bahawa anda telah pun diberikan tanggungjawab untuk jadi apa, dengan tujuan apa sejak anda dilahirkan ke bumi ini. Pernahkah anda berasa bosan? Atau jiwa anda kosong seperti sesuatu yang perlu dicari bagi mengisi kekosongan hati? Jika anda pernah merasakan bosan, ketahuilah sebenarnya anda tidak tahu tujuan utama anda hidup di bumi ini. Sama seperti manusia lain yang melalui kitaran yang pada saya 'kitaran kurang bijak' iaitu daripada lahir, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti atau terus kerja, kahwin dan tua. Hanya orang yang beruntung sahaja dapat keluar daripada kitaran itu. Mereka adalah insan biasa yang melakukan sesuatu yang luar biasa. Tiada atau kurang rasa bosan di dalam hati mereka. Jiwa mereka sentiasa terisi dengan nilai-nilai bicara kata Ilahi. Oleh sebab itu, mereka kurang rasa bosan dalam hidup mereka.
Tidak mahukah anda juga jadi seperti mereka? Insan biasa yang melakukan sesuatu yang luar biasa. Sesuatu yang luar biasa yang berlandaskan Allah SWT dan Rasul-Nya. Mari kita singkap kembali siapakah diri kita sebenarnya. Bak kata pepatah,
"Barangsiapa kenal akan dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya."

Tanya pada hati? Adakah anda mengenal diri anda? Sebenar-benarnya kenal? Tahukah anda dicipta daripada apa?
Dari Mana Kita Datang?
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
– Surah Al-Hajj 22: 5

Sekarang, mari kita lihat pula apa bicara kata Allah SWT tentang tujuan sebenar kita hidup di dunia ini.
Mengapakah Kita Dijadikan Oleh Allah SWT?
p>Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
– Surah Al-Dzariyat 51: 56
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. 
– Surah Al-Baqarah 2: 30
Secara jelasnya, bicara kata Allah seperti di atas mengingatkan kita agar beribadah kepada-Nya juga menjadi khalifah di muka bumi ini. Mungkin ada yang keliru, apakah sebenarnya maksud khalifah dan ciri-cirinya.
Maksud khalifah
Menurut bahasa
Khalifah yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu khalafa bererti ganti; iaitu seseorang yang menggantikan seseorang yang lain. Dia melaksanakan sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya ketika ketiadaannya. Ianya termasuklah:-
1. Menggantikan orang yang tiada.
2. Menggantikan orang yang telah mati.
3. Menggantikan tempat bagi orang yang tidak mampu menguruskannya.
4. Menggantikan tempat seseorang sebagai memuliakannya.
Menurut istilah
Maksud khalifah dari segi istilah pula ialah generasi manusia yang dipilih oleh Allah SWT sebagai pengganti-Nya untuk mentadbir, menggurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan menjalankan syariah Allah SWT sama ada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa.
Dalam pada itu, gelaran khalifah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kaum mukmin secara menyeluruh iaitu tidak terbatas pada keluarga tertentu, kelas tertentu, suku tertentu atau ras tertentu. Dalam Islam setiap orang mukmin menjadi khalifah Allah SWT. di muka bumi yang sesuai dengan kapasitas individualnya. Seorang khalifah di muka bumi adalah semuanya sama dan tidak ada yang lebih rendah dari khalifah yang lain.
Ciri-ciri khalifah
1. Ilmu
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.
- Surah Al-Baqarah 2: 31 
Para mufasir berpendapat ayat di atas adalah bermaksud, seorang khalifah Allah itu perlulah mempunyai ilmu dan Nabi Adam AS. adalah khalifah Allah yang telah diberikan ilmu dan pengetahuan yang tidak dimiliki oleh para malaikat. Sesungguhnya setiap daripada kita mempunyai potensi ilmu dalam bidang masing-masing dan hendaklah mereka menggunakannya untuk menegakkan kebenaran.

2. Iman dan amal
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
- Surah An Nur 24: 55
Ayat di atas menunjukkan Allah berjanji akan menjadikan hamba-hamba-Nya sebagai khalifah yang akan menguasai dan memimpin dunia. Tetapi janji itu akan ditepati-Nya bagi manusia yang beriman dan beramal kebaikan.

3. Memberi keputusan yang benar dan tidak mengikut hawa nafsu
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
- Surah Sad 38: 26 
Seorang khalifah haruslah berakhlak dengan berkehendak, bertindak sebagaimana yang Allah kehendaki dan memberi keputusan dengan keputusan Allah serta berjuang di jalan Allah. 

4. Amar maa'ruf nahi mungkar
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa ber-amar ma’ruf dan nahi munkar, maka dia adalah khalifatullah di bumi dan khalifah kitab-Nya serta khalifah rasul-Nya.’’ (Kitab Mizan al-Hikmah, jilid 3 hal 80).

Semua manusia berpotensi diciptakan untuk menjadi khalifatullah. Namun agar potensi tersebut menjadi nyata (bil-fi’li), terdapat beberapa ciri-ciri yang harus dimilikinya, iaitu ilmu, iman, amal solehh, memberi keputusan dengan benar, tidak mengikuti hawa nafsu dan ber-amar ma’ruf dan nahi munkar. 

Ke Mana Kesudahan Kita?
Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); (42) Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (43) Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan
- Surah Al-Najm 53: 42-44
Sabda Rasulullah SAW:
Belum lagi hilang jejak telapak seorang hamba pada hari Kiamat sehingga kepadanya telah diajukan empat pertanyaan.
  1. Dari hal umurnya, ke mana dihabiskan.
  2. Dari hal tubuhnya, apa yang dipakaikan.
  3. Dari hal ilmunya, apa yang diamalkannya dengan ilmunya.
  4. Dari hal hartanya, dari mana diperolehnya dan untuk apa dibelanjakannya.HR At Tarmizi
- HR At-Tarmizi
Wallahu alam.